Calon paling muda mahu bawa pembangunan di DUN Tandek
Kota Marudu: Iltizam membawa pembangunan lebih mapan menjadi aspirasi antara calon paling muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Yillson Yanggun, 23, calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, usia tidak seharus menjadi penghalang untuknya tampil membawa perubahan dalam masyarakat di kawasannya.
"Walaupun pengalaman dalam politik baru setahun jagung, namun saya tidak mahu gelombang perubahan ini disekat terutamanya dalam isu infrastruktur, sara hidup dan pendidikan.
"Perubahan memilih anak muda sebagai wakil dalam DUN Sabah perlu kerana landskap politik lama perlu diubah daripada hanya terus menampilkan calon senior," katanya yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Yillson mengakui terkejut selepas kepimpinan parti menamakannya sebagai calon walaupun masih baharu dalam politik tempatan.
Katanya, isu infrastruktur, pendidikan dan sara hidup akan terus diperjuangkan supaya semua lapisan masyarakat di DUN Tandek terus mendapat manfaat dan mampu mengubah landskap kehidupan khususnya ekonomi.
"Gabungan wakil rakyat muda dan senior perlu untuk mengimbangi setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri dalam usaha membawa Sabah ke tahap yang lebih baik.
"Idea yang dilontarkan orang muda lebih segar dan mampu membawa anjakan paradigma dalam masyarakat dan sosio ekonomi tempatan," katanya.
Dalam PRN ke-16 kali ini, Yillson ditentang lima lagi calon untuk menjadi suara kepada 15,969 pengundi di kawasan berkenaan yang sebelum ini diwakili Datuk Anita Baranting dari Parti Warisan Sabah (Warisan).
